Muqaddimah

Bismillah ir-Rahman ir-Rahim. Alhamdulillahi wassolatu wassalam 'ala Mawlana Rasulullah, wa 'ala aalihi wa sohbihi wa sallim.

Para ‘Arifin pernah berkata, bahawa antara asbab manusia pada hari ini tidak ditimpa bala bencana seperti umat terdahulu adalah disebabkan keberadaan para kekasih Allah yang tersembunyi di tengah-tengah manusia yang bergelumang dengan kemungkaran. Tiadalah mereka putus berdoa dan bermunajat kepada Allah Ta’ala supaya memelihara umat ini dari tertimpa kemurkaan dan azab Allah Ta’ala.

Maka kewujudan mereka dikalangan kita adalah suatu nikmat yang seharusnya disyukuri, kerana andai terputus madad dan munajat mereka, maka nescaya tertimpalah umat ini akan segala bala dan keburukkan.

Berkata Sufyan Ibn Uyainah :

“Tatkala disebut orang-orang Soleh maka diturunkan rahmat”.

Telah menjadi kebiasaan ahli sufi sejak dahulu lagi menjadikan kisah para awliya’ sebagai satu riadah jiwa dalam suluk menuju ke hadrah Allah Ta’ala. Hal ini dibuktikan seperti yang ditulis oleh sandaran para salikin, al Imam Abdul Karim Ibn Hawazin al Qusyairi (w 465H) dalam Risalahnya yang masyhur, ar Risalah al Qusyairiyyah akan kisah dan keperibadian para sufi terdahulu dikalangan para Ahli Bayt dan Salafussoleh.

Maka kami menulis risalah ringkas ini bagi memperincikan keberadaan zawiyyah-zawiyyah dan maqamat yang tertanamnya cahaya-cahaya yang menerangi negara yang dijuluki sebagai “Tanah Para Wali”, khususnya kota Fes, yang diibaratkan sebagai kota yang menyimpan sejuta rahsia yang tiadalah tersingkap tabirnya melainkan bagi mereka yang terang mata nuraninya, yang dikurniakan limpahan cahaya dan asrar Rabbnya.

Di sini kami himpunkan beberapa zawiyyah dan makam yang sesuai diziarahi oleh mereka yang dambakan nazrah para kekasih mereka, yang masih berbaki wujudnya dan terpelihara dari tenggelaman zaman, tidak seperti kebanyakan zawiyyah yang lain yang telah dilupakan, segala rahsianya yang telah dikunci di balik pintunya.

Semoga Allah memberkati usaha kami dan mereka yang terlibat dalam menjayakan risalah ini, serta menjadikan ia sebagai amal jariah kami dunia dan akhirat. Aamin. Wallahu a’lam.


<aside> 👇 Tinggalkan emel anda jika anda ingin dimaklumkan apabila kami menerbit buku baru, atau menjalankan projek sedemikian rupa. Di antara buku yang akan datang, inshaAllah, adalah 'Keys to the Garden' oleh Habib Mashyur al-Haddad.

</aside>

Di Darayn Mailing List


**© Hakcipta Penulis H.S. Rembawi IG: @hudsaleh

Penerbit DiDarayn Publication

Sebarang pertanyaan IG: @didarayn atau IG: @hudsaleh